Teater Komuniti sebagai Medium Pendidikan dan Kesedaran Isu Buli serta Kesejahteraan Mental di SMK Bertam Indah




BERTAM, PULAU PINANG – Seramai 20 pelajar kursus VTC-453 (Teater Komuniti), di bawah bimbingan Dr. Azrul Azizi dan Cikgu Rafizal, telah melaksanakan program “Teater Komuniti sebagai Medium Pendidikan dan Kesedaran untuk Menangani Isu Buli serta Menggalakkan Kesejahteraan Mental dalam Kalangan Murid Sekolah Menengah” di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Bertam Indah. Program minggu pertama ini melibatkan seramai 34 orang murid sekolah menengah dan berlangsung dari jam 8.00 pagi hingga 1.00 tengah hari.
Program ini merupakan inisiatif pembelajaran berasaskan komuniti yang memberi peluang kepada pelajar VTC-453 untuk mengaplikasikan ilmu dan kemahiran teater dalam konteks sebenar, di samping menyumbang kepada usaha meningkatkan kesedaran masyarakat tentang isu buli dan kepentingan kesejahteraan mental dalam kalangan remaja.
Sesi dimulakan dengan aktiviti regangan, pemanasan badan, latihan vokal dan pergerakan kreatif bagi mempersiapkan peserta dari segi fizikal dan mental. Para murid kemudiannya dibahagikan kepada empat kumpulan untuk menyertai pelbagai aktiviti interaktif, termasuk theatre games, perkongsian ilmu, sesi sumbang saran serta perbincangan awal bagi membangunkan rangka cerita yang berkaitan dengan isu buli dan kesihatan mental.
Melalui pendekatan teater yang interaktif dan kreatif, para mentor membimbing murid memahami kesan buli serta kepentingan memelihara kesejahteraan mental. Pelaksanaan theatre games turut menyediakan ruang untuk murid membina keyakinan diri, mengukuhkan semangat kerjasama dan meningkatkan kepekaan terhadap emosi diri serta orang lain.
Selain itu, sesi perkongsian dan sumbang saran membuka peluang kepada murid untuk menyuarakan pandangan, berkongsi idea dan membincangkan situasi yang dekat dengan kehidupan remaja. Perbincangan ini menjadi asas kepada pembentukan jalan cerita yang mencerminkan realiti kehidupan murid sekolah menengah, sekali gus menjadikan teater sebagai medium pembelajaran, refleksi dan penyampaian mesej kesedaran sosial.
Pelaksanaan minggu pertama ini menjadi langkah awal dalam memperkukuh peranan seni teater sebagai pendekatan pendidikan yang mampu mendekatkan isu sosial kepada golongan muda. Pada masa yang sama, program ini memperkaya pengalaman pembelajaran pelajar VTC-453, khususnya dalam aspek pemudahcaraan, komunikasi, kepimpinan dan penglibatan bersama komuniti.
Program ini turut menyokong Matlamat Pembangunan Mampan (Sustainable Development Goals, SDG), khususnya SDG 3: Kesihatan Baik dan Kesejahteraan melalui peningkatan kesedaran tentang kesejahteraan mental, SDG 4: Pendidikan Berkualiti melalui pendekatan pembelajaran kreatif dan inklusif, serta SDG 16: Keamanan, Keadilan dan Institusi yang Kukuh dengan menggalakkan kesedaran tentang isu buli dan pembentukan persekitaran sekolah yang selamat serta harmoni.
Diharapkan program ini dapat diteruskan pada minggu kedua dengan penglibatan aktif semua peserta bagi mengembangkan idea yang telah dibincangkan serta menghasilkan persembahan teater yang bermakna. Usaha ini diharapkan dapat menyumbang kepada pembentukan persekitaran sekolah yang lebih prihatin, selamat dan menyokong kesejahteraan mental murid.
School of The Arts (SOTA), Universiti Sains Malaysia (USM) komited dalam memperkasa peranan seni sebagai wahana pendidikan, kesedaran dan pembangunan komuniti melalui pengalaman pembelajaran yang menghubungkan ilmu akademik dengan keperluan masyarakat.
