SOTA USM LAKSANAKAN KAWAD KAWALAN KEBAKARAN DAN LATIHAN PENGUNGSIAN BANGUNAN



21 Oktober 2026 | Pulau Pinang: Pusat Pengajian Seni (SOTA), Universiti Sains Malaysia (USM) telah melaksanakan Kawad Kawalan Kebakaran dan Latihan Pengungsian Bangunan pada hari ini, 21 Oktober 2026. Program ini dianjurkan oleh Ahli Jawatankuasa Keselamatan dan Kesihatan Pekerja (KPP) SOTA USM dengan kerjasama Unit Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan Universiti (UKKP) USM, Jabatan Keselamatan USM serta Jabatan Pembangunan dan Pengurusan Fasiliti (JPPF) USM.
Latihan ini melibatkan penyertaan pelajar, pensyarah, staf pentadbiran, staf pelaksana dan staf teknikal SOTA USM sebagai usaha memperkukuh kesedaran serta kesiapsiagaan warga universiti dalam menghadapi situasi kecemasan, khususnya kejadian kebakaran.
Pelaksanaan latihan ini turut memberikan pendedahan kepada warga SOTA USM mengenai kepentingan mematuhi prosedur keselamatan, bertindak dengan pantas dan teratur serta bekerjasama bagi memastikan proses pengungsian bangunan dapat dilaksanakan dengan lancar dan berkesan.
Latihan pengungsian bangunan berjaya diselesaikan dalam tempoh 3 minit 47 saat. Tempoh ini menjadi salah satu aspek penilaian bagi mengukur tahap kesiapsiagaan warga SOTA USM, di samping mengenal pasti ruang penambahbaikan dalam pelaksanaan prosedur keselamatan bangunan.
Penganjuran program ini mencerminkan komitmen Pusat Pengajian Seni USM dalam memperkukuh budaya keselamatan dan kesihatan pekerjaan serta memastikan persekitaran pembelajaran dan tempat kerja yang selamat untuk seluruh warga universiti.
Keselamatan tanggungjawab bersama. Kesiapsiagaan hari ini, perlindungan untuk semua.
