KONVENSYEN BANGSAWAN USM 2026 TELUSURI STRUKTUR DAN SISTEM SENI PERSEMBAHAN WARISAN

PULAU PINANG, 28 September 2026 – Pusat Pengajian Seni (PPS), Universiti Sains Malaysia (USM) dengan kerjasama Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) Wilayah Utara akan menganjurkan Konvensyen Bangsawan USM 2026: Struktur dan Sistem dalam Bangsawan, pada 16 Oktober 2026 bertempat di Pese’ban Agung, Pusat Pengajian Seni, USM.
Konvensyen yang memasuki edisi keempat ini menjadi wadah ilmiah dan perkongsian pengetahuan dalam usaha mengupas, memahami serta menghayati struktur, sistem dan prinsip yang membentuk seni persembahan Bangsawan sebagai salah satu warisan penting dalam landskap seni budaya Malaysia.
Bangsawan merupakan bentuk teater tradisional yang mempunyai ciri persembahan tersendiri, termasuk aspek lakonan, muzik, nyanyian, kostum, set serta tatacara persembahan yang membentuk identitinya. Di sebalik kemeriahan dan gemerlapan pentas Bangsawan, terdapat struktur dan sistem yang menjadi asas kepada kekuatan serta kesinambungan seni persembahan tersebut.
Sehubungan itu, Konvensyen Bangsawan USM 2026 memberi tumpuan kepada perbincangan mengenai struktur dan sistem Bangsawan daripada perspektif ilmu, pengalaman amali serta warisan yang diwarisi dan dikembangkan oleh penggiat seni.
Konvensyen ini turut menampilkan tiga orang panel yang mempunyai pengalaman dan penglibatan dalam bidang Bangsawan, iaitu Datin IS. Shahnoor Zahurin, Yang Dipertua Pertubuhan Bangsawan Warisan Moraza Perak; Encik Veera Masura, aktivis Bangsawan dan NGO Persatuan Sekenet; serta Encik Roslan Chin, bekas pensyarah teater dan aktivis Bangsawan.
Program akan berlangsung dari 8.30 pagi hingga 5.00 petang dan terbuka kepada pelajar, penggiat seni, pengamal budaya, ahli akademik serta orang awam yang berminat terhadap seni persembahan tradisional dan warisan budaya Malaysia.
Penyertaan adalah percuma dan terhad, dengan pendaftaran boleh dibuat melalui pautan berikut:
https://bit.ly/KONVENSYENBANGSAWANUSM2026
Penganjuran Konvensyen Bangsawan USM 2026 diharapkan dapat memperluas kefahaman masyarakat terhadap struktur dan sistem Bangsawan, di samping memperkukuh usaha mendokumentasikan, memelihara dan meneruskan amalan seni persembahan warisan kepada generasi akan datang.
Untuk maklumat lanjut, sila hubungi Encik Gurvinderjit di talian 04-653 3901.
Konvensyen Bangsawan USM 2026
Struktur dan Sistem dalam Bangsawan
16 Oktober 2026 | 8.30 pagi – 5.00 petang
Pese’ban Agung, Pusat Pengajian Seni, USM
